








| Cuci Jangan Tak Cuci : Siri 1 |
|
|
|
| Written by ustaz | |
| Wednesday, 25 February 2009 | |
![]() Cuci jangan tak cuci... Apa yang hendak dicuci? Baju yang kotor menyebabkan tuannya dipandang pengotor dan disisihkan, bahkan tuan punya badan pun tidak selesa dengan keadaan itu... Pinggan yang kotor yang tidak dicuci mengakibatkan kulat datang bertandang lalat bertelur bahkan juadah tidak dapat disajikan kerana bekas untuk menyaji makanan sudah begitu kotor. Aduh busuknya dan tidak boleh menyantap makanan dengan baik. Begitu juga rumah yang kotor ala-ala rumah usang yang berhantu sudah tentu digeruni dan bayak lagi tafsiran kesan kekotoran yang langsung tidak dapat dimanfaatkan oleh orang sekeliling mahupun tuan punya badan.
Ini baru kekotoran zahir atau fizikal yang kaku dan tidak bernyawa yang nampak di mata kasar, bagaimana pula manusia yang bernyawa dan punya jasad yang zahir dan kaku ini?sudah tentunya yang menggerakkan nyawa kepada jasad yang kaku ini ialah roh yang mempunyai hati sebagai pusat kehidupan yang menentukan tindak tanduk baik atau buruk jasad yang bergelar khalifah. Keladak dan kotornya hati ini menatijahkan sifat sombong,bongkak,dengki dan busuk hati, memfitnah, mengumpat, melobi, rasuah, bermuka-muka, gila dunia dan harta,tak boleh dinasihati, sukar menerima pandangan orang dan seribu satu lagi sifat kontra kepada sifat khalifah yang menyebabkan insan ini tidak boleh dimanfaatkan oleh masyarakat sekeliling bahkan dirinya sendiri bak pinggan, baju dan rumah yang kotor tadi. Nabi SAW bersabda:-ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب( رواه البخاري ومسلم)"Ketahuilah sesungguhnya pada sesebuah jasad itu ada seketul daging jika baik ketulan daging tersebut maka baiklah keseluruhan jasad tadi dan jika rosak ketulan daging tersebut maka rosak jualah keseluruhan jasad.Ketahuilah ia adalah hati."Perlu diketahui sesuatu tindak tanduk kita samada baik apatah lagi buruk ada implikasi hukum disebaliknya,bahkan adanya undang-undang dan sunnatullah yang perlu diikuti.Maka dalam Islam syariat sebagai ”sign board” untuk menentukan sesuatu arah tuju betul ataupun tidak betul walaupun ”sign board” itu seolah olah jauh untuk sampai ke destinasi tetapi pastinya ia tepat.Tetapi jika tidak mengikut ”sign board” walaupun destinasi nampak hampir tetapi pasti sesat dan tidak sampai arah tujunya.Demikianlah perlakuan dan tindak tanduk kita, tanya pada diri kita dahulu sebelum melakukan sesuatu..Adakah tindakan aku ini melanggar syariat? Berdosa?salah?haram?menyusahkan orang?melanggar undang undang?! Ini diajar oleh nabi SAW dalam sebuah hadisnya
البر حسن الخلق والاثم ما حاك في نفسك وكرهت أن يطّلع عليه الناس (رواه مسلم)"Kebaikan dan pahala itu ialah cantik akhlak manakala keburukan dan dosa itu ialah sesuatu yang tidak tenang pada hatimu dan kamu membenci manusia melihatnya."Perkara HARAM lebih perlu didahului dalam menilai sesuatu kemudian barulah WAJIB.Ini kerana kedua duanya adalah tuntutan yang putus dan pasti cuma yang bezanya ialah HARAM tuntutan untuk menahan daripada melakukan manakala WAJIB pula tuntutan untuk membuat.Ini kerana mudharat daripada perkara HARAM lebih teruk kesannya berbanding meninggalkan perkara yang WAJIB.Ini juga bermakna bukanlah meringan-ringankan perkara yang WAJIB sama sekali, tidak dan tidak.Diterangkan lagi bagaimana nabi SAW bersabda :تكن أعبد الناس ( الترمذي ) المحارم اتق"Takutlah kamu kepada perkara-perkara haram kamu akan jadi manusia yang paling A’bid."Ini dikuatkan lagi dengan kalam Abdullah ibn Umar yang menegaskan menolak 1/6 dirham perak yang haram lebih utama berbanding 100 ribu kamu bersedekah di jalan Allah.Bahkan kaedah feqah menyebut menolak kerosakkan lebih diutamakan berbanding mendapat kebaikan dan kemaslahatan.Justeru seorang yang solat 5 waktu tetapi berzina, berpuasa Ramadhan tetapi mengambil riba dan seumpamanya amat kena dengan situasi yang dimaksudkan tadi. Itulah jua sebabnya mungkin ketika berlaku perjanjian Aqabah 1 isinya hanya berkisar kepada peninggalan benda-benda yang haram berbanding suruhan ibadah-ibadah tertentu iaitu ”Jangan meyengutukan Allah dengan sesuatu, jangan mencuri, jangan berzina, jangan membunuh anak kamu, jangan mendatangi perkara-perkara yang keji di depanmu,dan jangan mengingkariku dalam perkara yang makruf”, kata nabi SAW.Maka setiap sesuatu perbuatan yang hendak dilakukan mesti mengambil kira pertimbangan-pertimbangan yang disebutkan di atas tadi sebelum ianya dilakukan.Paling tidak pun jika kita jahil dan tidak tahu tentang hukum hakam tanyalah hati dan iman kita adakah perbuatan aku ini baik pada moralnya dan dipandang molek oleh manusia? kalau jawapannya tidak molek maka hentikanlah serta merta, inilah yang diajar oleh junjungan besar kita SAW. Jangan pula asyik sibuk menderma,berkebajikan membuat amalan-amalan soleh, dalam masa yang sama segala macam kemungkaran berjalan lancar juga.
Orang sebegini tetap dipandang hina,kerana mengikut pengamatan para ulamak terhadap kehendak syarak dan kefahaman sahabat-sahabat nabi SAW bahawa asal kepada ibadah adalah menjauhi apa yang Allah haramkan.Cuci jangan tak cuci perangai mazmumah mu. Apa persepsi awal anda tentang mereka? Rasulullah SAW, Bill Gates, Tun Mahathir, Tok Guru Nik Abd Aziz, Datuk Lee Chong Wei, Bangsa Jepun, Cina dan Inggeris?..Rasulullah SAW tentunya kita terbayang kepimpinan yang hebat yang melahirkan generasi yang digelar ’sebaik ummah’, Bill Gates dengan keazaman yang tinggi dalam mencapai matlamat bidang komputer dan perisiannya, Tun Mahathir dengan semangat dan disiplin kerja yang kuat, Tok Guru dengan kepimpinan melalui teladannya, Datuk Lee Chong Wei dengan semangat memperbaiki kesilapan lampaunya dan taat pada jurulatihnya, Bangsa Jepun yang terkenal dengan ketepatan waktu dan memandang sesuatu dengan positif, Bangsa Cina yang gigih bekerja dan Inggeris, yang bersih dan berjiwa besar dan sebagainya yang melambangkan sifat-sifat positif yang bertitik tolak dari kuasa dalaman roh dan hati yang bersih lagi kuat.
Bagaimana pula pula persepsi awal anda kepada Mona Fendi, Bangsa Melayu, Arab, Israel Zionis?! Tentunya persepsi yang negatif; Mona Fendi yang zalim dan menakutkan, Melayu yang pendengki dan malas, Arab yang suka bertelagah dan sombong, Israel Zionis yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan..yang disimbolkan dengan sifat-sifat negatif. Bukanlah tujuan saya untuk menonjolkan sifat buruk ini tetapi bak kata Huzaifah ibn Yaman yang bertanyakan Rasulullah SAW tentang kejahatan saat sahabat lain bertanyakan tentang kebaikan belaka dengan alasan Huzaifah “takut ianya terjadi dan terlekat kepada diriku” disambut baik oleh Rasulullah dengan sabda hadisnya yang panjang mengenai kebaikan dan keburukkan.
Jelas bahawa sifat positif di sini boleh membawa perubahan besar kepada diri,masyarakat,negara bahkan dunia dan begitu juga dengan sifat negatif yang membawa kesan sebaliknya. Bila pula sifat-sifat negatif ni datang? Macammana pula ia datang? Makin tidak selesa dan tidak senang duduk dibuatnya. Bila Rasulullah dianggap Arab Mekah Jahiliyyah sebagai gilakan jawatan maka mereka mula membuat pelbagai onar kepada baginda dan sahabat-sahabatnya demi menjaga status dan tahta pengaruh mereka, bila mana si miskin yang akhirnya kaya lupakan asal-usulnya yang bertindak menghina memaki orang yang di bawah statusnya, bilamana si dia dapat pujian, anugerah dan sedikit kesenangan ada sahaja mulut yang mula mengorek segala kelemahan manusia yang kalau dicari pastinya ada lantas akhirnya menjatuhkan rakan sepasukannya..”biarlah kita sama tak dapat asalkan kau jangan lebih dari aku”. Bilamana kumpulan ajaran sesat yang mahukan orang mengangkatnya dan memujanya sehingga melanggar segala syariat.
Semuanya ini dapat disimpulkan daripada ت yang pertama iaitu tahta, maka ianya satu bentuk ujian besar yang mudah untuk disebut tetapi tak mudah untuk dielak. Bilamana pengaruh ت kedua menguasai dan menghantui diri iaitu wanita, segalanya diusahakan untuk memenanginya, sanggup menipu, berbelanja besar, yang negatif nampak elok, bahkan ada yang lupa dan mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan tidak kurang yang sampai bergolok gadai dan bermusuhan serta berbunuhan semata-mata kerana ت yang kedua ini. Ini lebih parah lagi jika diuji dengan ت yang ketiga iaitu harta ketamakan haloba yang merakamkan pelbagai karenah birokrasi dalam pengurusan. Dari orang kampung yang papa hinggalah kepada mereka yang kaya dan berharta, amalan rasuah menjadi makan minum mereka demi mengejar dunia. Lantaran itu datang sifat tamak, dengki dan iri hati yang akhirnya menjadikan jin dan syaitan sebagai penolong untuk memusnahkan kebahagiaan orang lain. Justeru bertaqwalah kita pada ujian dari tiga ت ini.. tahta, wanita dan harta yang melingkungi dunia ini supaya ianya bukan sebagai perosak diri dan masyarakat bahkan sebagai jambatan kita ke akhirat |
|
| Last Updated ( Wednesday, 06 May 2009 ) |
| < Prev | Next > |
|---|