• Narrow screen resolution
  • Wide screen resolution
  • Fluid screen
  • Decrease font size
  • Default font size
  • Increase font size
  • style1 color
  • style2 color
  • style3 color

ustaz-zamri.com

Member Area

Newsflash

Home
Cuci Jangan Tak Cuci : Siri 2 PDF Print E-mail
Written by ustaz   
Wednesday, 25 February 2009
sambungan daripada siri 1......

 

Cuci jangan tak cuci... Bagaimanakah pula cara menyuci hati dan sikap jelek dari hati yang rosak ini? Mana pula penawar dan ubatnya? Bolehkah ianya didapati di farmasi atau bengkel-bengkel membaiki kenderaan? Sudah tentu tidak!! Kerana sifat fizikal hati itu tidak boleh  nampak dan tidak boleh dipegang sama seperti sifat manusia, begitulah juga perihal ubatnya. Ia bersifat maknawi dan bukannya material dan akan subur dan sihat dengan ubat yang sesuai dan serasi dengannya. Oleh itu, ubat pertama yang paling mujarab ialah dengan  membaca al-quran yang merupakan sebaik-baik perkataan dan kalam, sebagai pembela di akhirat kelak bagi yang membacanya dan sebagai cahaya yang akan menerangi kuburnya kerana sepanjang hidupnya di dunia disuburkan dengan ‛nur’ Al-Quran.

 

Persoalannya berapa ramaikah dikalangan kita yang menjadikan Al-Quran itu sebagai zikir hariannya selain bacaan di dalam solat? Berapa ramaikah yang dapat membacanya dengan baik, berapa ramai pula yang meluangkan masa untuk mentadabbur dan memahaminya sebelum diamalkan isi kandungannnya? Atau ia hanya sekadar menghiasi dinding rumah dan almari perhiasan dan akan dibaca setahun sekali menjelang Ramadhan sehinggakan ianya umpama ’suci dalam debu’ dan tidak ubah seperti mushaf Quran yang dimuziumkan.

 

Ubat kedua ialah solat malam sebagaimana kata-kata Saidina Umar R.A dalam ucapannya yang beliau tidak mahu hidup di dunia ini kalau tidak ada 3 perkara ini: salah satunya ialah solat malam/ qiammullail. Begitu juga Rasulullah S.A.W yang maksum, yang diampunkan dosanya terdahulu dan terkemudian  melakukan solat malam secara istiqamah semenjak turunnya surah al-Muzammil hingga ke akhir hayatnya bahkan kedua kaki baginda bengkak dan pecah dek lamanya berdiri untuk solat malam. Siapa pula kita jika dibandingkan dengan Rasulullah dan para sahabat? Malam kita lena diulit mimpi bahkan kewajipan solat fajar pun dihujung waktu?

 

Apabila sakit menjadi parah, antibiotik diberikan untuk menguatkan antibodi badan. Antibiotik bagi hati pula adalah puasa. Ubat ketiga  ini amat mujarab melemahkan nafsu syahwat dan kehendak dunia yang membara. Baginda S.A.W berpesan supaya umatnya mengamalkan puasa sunat 3 hari dalam sebulan, begitu juga puasa Isnin dan Khamis. Kerana ia amat efektif untuk kelenturan hati dan nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan.
Ubat ampuh yang keempat ialah melazimi orang-orang soleh yang diibaratkan dalam hadis sebagai pemilik kedai minyak wangi yang wanginya akan terpalit juga walaupun hanya mendatanginya tanpa memakainya. Kawan memberi pengaruh besar dalam kehidupan kita. Baik atau buruknya kita bergantung dengan siapa kita berkawan. Jadi, siapa kawan atau lawan di sekeliling kita? Adakah mereka itu yang membicarakan bagaimana menambah kemewahan dunia dan hidup yang fana semata-mata? Perbualan yang  berkisar cerita-cerita lucah yang melibatkan wanita atau hanya gelak tawa yang hanya menggelapkan hati dan boleh mematikan hati?

 

Manakala ubat yang keempat adalah zikrullah terutamanya bila dilakukan di malam hari ketika mana orang lain nyenyak tidur atau sedang berseronok dengan dunia. Tersebut satu cerita ketika mana Nabi SAW keluar tandas, baginda  menyebut: ” keampunan dariMu ya Allah ku pohon”. Sahabat baginda bertanya “Kenapa Kau memohon ampun setelah keluar dari tandas?” Lantas baginda membalas : “ kerana waktu beberapa ketika di dalam tandas itu aku tidak boleh berzikir kepada Tuhanku” Begitulah hati akan hidup dan subur dengan zikrullah dan ia mati tanpanya.
Dapat disimpulkan bahawa hati juga perlukan ubat sebagai penawar dan pencuci berkuasa yang mampu menyahkan kekotoran hati yang boleh merosakkan dunia. Justeru, keempat-empat ubat yang diajarkan Rusul kepada kita ini amat mujarab diamalkan bagi mengekalkan kesuburan dan kualitinya.  

 

Rentetan itu, saya agak kurang senang apabila program-program pembangunan modal insan yang mengutamakan ubat-ubat ini dipandang sepi dan dipinggirkan berbanding program-program material yang menjadi agenda utama seperti mencantikkan sesebuah kawasan, bersukan, tuisyen yang bermatlamatkan skor A dalam semua matapelajaran, seminar menambah pendapatan segera dan seumpamanya. Bayangkan jika modal insan ini diacu dengan acuan rabbani, pastinya dengan izin Allah kesemua perkara yang manusia sibuk dengannya yang saya utarakan tadi dapat diselesaikan dan digarap dengan cemerlang. Malah gejala sosial di Malaysia yang membelenggu kita dewasa ini yang tiada noktahnya dapat diselesaikan dengan santapan rabbani yang perlu diperkasakan diseluruh peringkat dan usia,malah sekolah cantik dengan tiadanya vandalisme,semangat untuk memperolehi A dalam matapelajaran tinggi tanpa perlu didesak untuk ke tuisyen,rajin berusaha memajukan diri sendiri dan negara kerana modal insan ini dibentuk dengan acuan yang betul tadi.

 

Kesimpulannya sikap yang baik dan positif bermula dari hati yang bersih, berlandaskan keimanan yang soheh merupakan kunci kekuatan ummah . Jika anda seorang bos yang menilai pekerja yang bermasalah, apakah faktor utama yang membuatkan anda mahu memecatnya? Adakah kerana kelulusannya? Mustahil kerana dia memang layak dari sudut kelulusannya. Adakah kerana kemahirannya? Mungkin juga tetapi ianya juga agak mustahil kerana sebelum ia masuk kerja telah dipastikan kemahiran yang boleh dicurahkan kepada organisasi dan ia mampu melakukannya.Tetapi faktor tak dengar cakap bos, ponteng kerja, rasuah, melawan dan pecah amanah boleh menjadi kayu ukurnya kerana ia berpunca dari sikap buruk yang terbentuk dari hati yang kotor. Lalu formula ini akan membuktikan tingginya markah seseorang jika diukur dari sudut sikapnya dan bukan pengetahuannya atau kemahirannya dalam sesebuah temuduga yang berskala 1 hingga 10 pada setiap item iaitu
( Pengetahuan + Kemahiran ) x Sikap, atau ringkasnya ( P + K ) x S.. Jadi, apa tunggu lagi.. cuci jangan tak cuci...hati yang bersih dalam sesuatu jasad maka baiklah keseluruhan tindakannya tapi kalau jahat maka jahatlah keseluruhan tindakannya. Selamat bermuhasabah!

 

 

 

Last Updated ( Thursday, 07 May 2009 )
 
< Prev   Next >
 

Main Menu

Home
Contact Us
Search

Polls

Rekabentuk laman web Ustaz Zamri....
 

Who's Online

We have 7 guests online